Monday, July 26, 2010

Hari 36: Hujan sangat marah di Tanggu

Beijing

19 Julai, Isnin

Sedar tak sedar sudah memasuki hari terakhir untuk trip 'rasmi' Beijing-Inner Mongolia bersama geng-geng 'backpackers tahunan'. Aku menyedarkan diri seawal jam 8 pagi untuk ikut menghantar pulang 'geng 7' yang akan pulang ke tanah monarki dengan 'istana air mata'nya di sebuah jalan yang sibuk waktu pergi dan pulang kerja. Pesawat pulang akan berlepas dari bumi yang dikepalai Hu Jintao pada jam 3.50 petang dan rencana perjalanan seperti yang dipersetujui malam sebelum adalah pada pukul 9 pagi - biar awal supaya tidak ketinggalan pesawat dan setelah mengira-gira jangkaan waktu yang akan terbuang untuk mencari bas setibanya di stesen keretapi Tianjin. Untuk makluman mereka-mereka yang hendak ke Beijing melalui Tianjin menggunakan pesawat Air Asia, angkutan langsung ke Beijing hanyalah teksi dan bas, tiada keretapi.

Selesai geng 7 dan aku daftar keluar, aku kembali daftar masuk untuk tambahan 4 malam sehingga Jumaat, 23 Jun seorang diri bersama Nadia dan Liana dan tetamu baru yang akan ganti masuk katil empuk Wan. Ikut bersama dalam rombongan pulang adalah jiran bilik Nani dari Grogol, Jakarta Indonesia, tiga orang sekeluarga dan 2 orang cowok dari Bogor juga Indonesia yang menginap di hostel lain yang berdekatan - maka semuanya 13 orang dengan beg-beg sarat barang-barang untuk rakan dan keluarga mungkin, tradisi yang tidak pernah aku semai untuk diamalkan.

Menuju stesen Qianmen dan seterusnya menukar ke Line 4 di stesen Xuanwumen sebelum tiba di stesen Beijing South. Berbekalkan bantuan Jega seperti biasa, kami menavigasi rombongan kombo dagang Malaysia-Indonesia ke China untuk mencari kaunter tiket dan seterusnya membeli. Setelah soseh-soseh bermandarin, 13 tiket keretapi laju tujuan Tianjin dari Beijing South berjaya dibeli dengan kos satu tiket memakan mangsa kertas yuan sebanyak 58 (RM29).

Stesen Beijing South jikalau diletak sebelah menyebelah dengan KL Sentral, nescaya akan menangis air mata darah kepiluan stesen hub kebanggan kita itu. Dengan desain ala-ala stadium dan seperti di mana-mana di China, bangunan stesen ini sangat besar dan boleh dianggap mega ala-ala Mahathirisme kita. Malah kebersihan tandas juga boleh dibanggakan, terima kasih kepada sistem flash automatik, kalau tidak bertepek-tepek tahi macam biasa.

Setelah menunggu 30 minit lebih, keretapi berangkat tepat jam 11 pagi seperti dijadualkan dan perasaan kagum dengan teknologi transportasi keretapi di China semakin bertambah, siapa bilang negara ramai penduduk tidak boleh berbuat apa seperti yang sering diklaim nasionalis dan geng-geng penafian di Indonesia dan India? Keretapi meluncur laju dengan kelajuan maksima dicatat ialah 336 km/j dan tepat 30 minit kemudian keretapi sampai dengan selamat di stesen Tianjin, pengalaman yang menarik dan menyeronokkan tambahan pula gadis pramugarinya cantik-cantik dan manis-manis.

Di sini bermulalah episod tipikal di China, mencari terus mencari dan kali ini carian kami adalah bas ke lapangan terbang Tianjin Binhai. Tanya sana dan tanya sini semuanya menghampakan, seorang cakap sana, seorang cakap sini dan seorang tak tahu. Bertemankan hujan renyai-renyai yang mulai turun membasahi bumi Tianjin - tempat kelahiran banyak bet-bet ping pong yang sering aku baling kalau kalah, aku dan Jega berbekalkan logik akal dan pembacaan sebelumnya memfokuskan mencari bas yang dicari-cari di luar stesen keretapi dan setelah pusing-pusing akhirnya kami menjumpai stsesen bas yang gayanya seperti untuk bas tempatan dengan nombor-nombor terpamang di depan bas. Setelah bertanya bas ke lapangan terbang kepada penjaga kaunter, pakcik itu menunjukkan ke arah bas nombor 825 dan seraya berakhirlah pencarian ini.

Bas pun mula berjalan, dalam hati aku semacam tidak yakin bas ini akan langsung ke lapangan terbang dengan tidak ada gaya seorang penumpang lokal yang seperti mahu ke lapangan dan ini ditambah pula dengan banyak orang turun dan naik sepanjang perjalanan - sesuatu yang tidak normal untuk sebuah bas ke lapangan terbang. Nah, 40 minit kemudian pemandu bas ini yang tipikal China - kasar mengarahkan kami turun di tepi jalan dengan papan tanda di jalan menunjukkan lapangan terbang hanya tinggal 2 kilometer. Dengan desupan air hujan yang turun, sebuah van sampai diikuti dengan teksi motor beroda tiga yang sedang diperangi pemerintah dan sebuah lagi kereta - dengan koordinasi yang mantap dari geng-geng prebet sapu kami berjaya juga sampai di lapangan terbang - setengah jam awal sebelum kaunter daftar masuk dibuka. Tahniah!

Aku. Jega dan Wan menaiki kereta tiga roda yang lucu dan lembab beralaskan tikar kayu di kerusi belakang dan disambut meriah dengan klikan kamera dari rakan-rakan dan pandangan aneh dari orang lokal. Bayaran setiap penumpang adalah 4 yuan, rendah berbanding rakan-rakan lain dengan 'kenderaan laju' yang dikenakan 8 yuan. Aku dan Wak Jan membuat keputusan untuk menyantap KFC sambil mengusha bas yang sebenar ke Tianjin di bahagian kedatangan dan setelah ditunjukkan arah, rupanya memang ada bas khas shuttle ke stesen keretapi Tianjin dan pastinya bukan 825.

Setelah melambai tangan dan bersalam-salam dengan perasaan sedih juga - satu lagi perpisahan, aku pun membawa diri dengan menaiki bas shuttle yang tidak dijumpai lokasi keberangkatannya di Tianjin. Tiket berharga 10 yuan dan destinasi tujuan ada dua, satu stesen keretapi Tianjin dan satu lagi Nanjing Road dan kekerapan adalah setengah jam sekali sehingga berakhirnya pesawat. Tepat 2.30 petang bas bergerak dengan hujan yang konsisten turun dan semakin lebih dari renyai-renyai dan 30minit kemudian bas berhenti di sisi stesen (berdekatan pintu utara) yang sebenarnya agak jauh dan tersisih dari bangunan utama, patutlah tak jumpa dan ramai tidak tahu.

Aku meneruskan perjalanan dengan menaiki bas 621 ke Tanggu, bandar pelabuhan setelah basah kuyup mengharungi jarak senggang di antara terminal bas lapangan terbang dan bas bandar. Bas pertama penuh dan aku menunggu bas seterusnya dan malang sekali gagal mendapat tempat duduk dan terpaksa berdiri betul-betul dekat kerusi belakang dengan ruang kaki untuk bergerak maksima 20 sentimeter. Menaiki bas ini memang pengalaman menarik, macam-macam gelagat orang lokal yang sangat kekampungan China terbentang di depan mata - ada gelagat cumbuan secara terbuka tapi malu-malu sedikit, tipikal bercakap dengan nada tinggi dan paling menarik pakcik depan aku dengan yakin menghaktui - dasar orang China!

Sejam berlalu destinasi masih belum kelihatan walaupun aku tahu bas ini pasti benar kerana pemandangan sekeliling sangat berwajah pelabuhan dengan gudang-gudang dan treler di sini sana. Setengah jam sesudah itu bas melewati stesen keretapi dan kelibat papan tanda bertulis Tanggu melegakan hati aku, ya aku sudah sampai di Tanggu dan sekarang persoalan muncul turunnya di mana? terminal ferinya di mana? Ragu-ragu aku turun di stesen terakhir untuk lebih selamat.

Tujuan aku ke sini ada tiga: untuk mengusha terminal feri ke Incheon, Korea secara fizikal setelah maklumat lengkap sangat-sangat sukar didapati di internet, membeli tiket feri dan menginap semalam di sini. Malangnya misi gagal disebabkan bilik hotel yang murah-murah dan dekat-dekat sudah penuh dan cuaca sangat buruk dengan hujan dan angin yang kuat dan semua orang yang aku tanya termasuk teksi tidak memahami destinasi tujuan, padah tak tahu bercakap dan menulis karakter Cina. Buntu, aku berjalan kaki dengan payung murah yang banyak kali hampir diterbangkan angin kuat menuju ke stesen keretapi yang aku berjaya simpan di dalam memori jalannya, 2 kilometer berjarak dari stesen terakhir yang aku turun. Oleh kerana hujan dan angin semakin kejam, aku menahan teksi dan mengarahkan pemandu teksi untuk terus dan ikut isyarat tangan aku. Terima kasih pakcik yang baik dan sempat mengajar aku menyebut stesen keretapi di dalam Mandarin. Di stesen aku sempat bertanya awek jaga kaunter arah ke terminal feri dan seperti biasa dia tidak tahu sehingga aku teringat untuk menunjukkan gambar kapal di dalam buku panduan pelancongan, oh langsung dia tahu dan aku meminta dia menulis karakter cina supaya mudah untuk ditunjukkan kepada pemandu teksi - dan rupanya Tianjin Ports berjarak 15-20 minit perjalanan lagi.

Menaiki keretapi laju pulang ke Beijing South dengan segala macam rasa - kos 70 yuan.

Urut kaki 30 minit dulu di depan hostel.

Tapau nasi goreng daging di restoran muslim berdekatan dan di kamar sudah ada tamu baru, cewek dari Perancis. 3 cewek 1 cowok. Nikmat sekali! Hilang semual lelah

No comments:

Post a Comment