Nombor 4 dalam budaya Cina, Korea dan Jepang adalah angka yang kurang bawa tuah sebab bunyinya seperti kematian. Maka untuk dijadikan cerita, hari ke 4 tanpa monarki boleh dibilang hampir sama, cuma tidaklah sampai tiada tuah dan menuju kematian.
Begini. Kalau di KL ada LRT dan Monorel yang masih tak integrasi, di Singapura ada MRT yang integrasi dan begitu juga di Bangkok ada Skytrain dan Metro yang lumayan integrasi juga. Jakarta juga tidak kalah dengan adanya Transjakarta atau lebih glamer, busway, sistem angkutan umum berbasis bas dan mempunyai lorong khas yang dipisahkan dengan penghadang jalan konkrit dalam kota yang sangat integrasi dengan sistem tiket tunggal dan memiliki jalur terbanyak dan terpanjang. Indonesia Bisa!
Projek kebanggaan bekas Gabenor Jakarta, Sutiyoso ini pada awalnya boleh dibanggakan (aku pertama kali naik hujung 2004,), dan walaupun dengan percambahan banyak jalur dan peningkatan jumlah penumpang, sikap acuh tak acuh pengurusan Transjakarta dan kurang kerjasama polis dan pentadbir kota menyebabkan bas tidak mengikit jadual dan lorong khas diinvasi kenderaan2 lain, contoh klasik masyarakat tidak berdisiplin. Walaupun Dian Sastro pernah melakonkan watak penjaga kaunter tiket busway di filem Ungu Violet, itu tidak menghalang Sutiyoso sendiri dari membilang busway gagal sepenuhnya untuk tujuan mengurangkan kemacetan.
Di sisi negatif, trafik di Jakarta memang bikin pusing dan gila bagi rakyat Malaysia dan cacat total untuk Singapura. Namun di sisi positif aku melihat masyarakat Jakarta mempunyai daya kesabaran tinggi walaupun hati siapa yang tahu dan hal ini membikin mereka menjadi lebih kuat secara mental dan fizikal ketimbang rakyat di jajahan British.
Kembali kepada cerita kurang sedap yang aku dan Vovin alami. Kami menunggu busway ke Lebak Bulus untuk tujuan Pondok Indah Mall di stesen transit, Harmoni kira-kira setengah jam dan setelah itu berdiri sebelum pertukaran bas sekali lagi dan kali ini hampir sejam menunggu sambil mencarut di dalam hati. Kemudian hampir 45 minit lagi berdiri di dalam bas yang macam tong sardin dan total semua, 2 jam 30 minit berdiri tanpa henti. Memang capek. Namun seperti wira2 negara di kapal flotilla yang diserang tentera Israel, pengalaman ini menimbulkan rasa insaf terhadap penderitaan pengguna busway Jakarta sehari-hari.
Sampai di Pondok Indah, aku jumpa teman cewek mahasiswa anarkis punk yang kerja menyara diri di Starbucks berkongsi-kongsi cerita sebelum labon diteruskan di kafe sinema yang menayangkan aksi langsung Korea Selatan dan Argentina. Meriah sekali di sini apabila orang2 kaya yang mundar-mandir di mal ini turut sama mencemar duli kekayaan dengan berperangai penyokong bola sepak Selangor. Bola sepak untuk semua!
Sesudah itu menaiki angkutan umum yang cekap, bas mini ke Blok M sebelum bersambung ke Sarinah bertemu Black untuk menikmati hidangan nasi goreng kambing kebon sirih yang enak dan diskusi panjang sesudah itu. Oh lupa, bas mini walau serba daif sangat sesuai untuk pelancong Malaysia menikmatinya.
Diskusi panjang menghasilkan satu keazaman tinggi untuk meneruskan dengan giat usaha menyebar seni ke seluruh rakyat, memperbanyakkan lagi aktiviti susulan pasca-Pekan Frinjan dan memperkuatkan seni budaya berbahasa kebangsaan.
No comments:
Post a Comment